Sunday, August 1, 2010

BILA ANAK-ANAK PULANG BERCUTI....

Sepanjang bulan Mei dan Jun yang lalu, musim pelajar-pelajar IPT pulang bercuti. Saban hari ada sahaja anak-anak yang datang menjenguk, hilang rasa sunyi. Pelbagai cerita dikongsi bersama, ada cerita mencuit hati, ada cerita duka dan tak ketinggalan cerita-cerita yang menggembirakan. Ya lah zaman remaja yang penuh suka duka terutamanya semasa berada di kampus menuntut ilmu.Gembira lihat gelagat mereka apabila bersama-sama menyusun atur untuk mengadakan 'reunion'. Walau baru beberapa bulan tak berjumpa tetapi sibuk nak buat 'reunion' mengalahkan orang yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Ya lah seronok juga bila berjumpa ramai-ramai, boleh berkongsi segala cerita kerana masing-masing berada di kampus IPT yang berlainan. Itulah seronoknya zaman remaja, kawan-kawan ramai tempat berkongsi segala, berlainan apabila menginjak dewasa, semuanya mulai sibuk dengan kerjaya dan keluarga, jarang dapat bersua muka.
Seminggu sebelum anak-anak semua pulang semula ke kampus, sama-sama berpakat untuk buat jamuan makan-makan. Dalam masa 2 hari je perbincangan, segalanya diatur. Pada hari jamuan tu, sewaktu sarapan pagi di kantin, rakan-rakan menegur kenapa muka berseri-seri, dan senyum memanjang. Pelik juga, rasanya biasa sahaja. Seorang rakan lain menyampuk , "ya lah anak-anak dia ramai, setiap hari datang menjenguk tu yang berseri-seri semacam". Mungkin betul juga kata rakan-rakan.. Begitulah tanpa disedari, jika hati kita gembira, pasti terpancar di wajah...
Mungkin beginilah perasaan hati seorang ibu dan ayah, tiada apa yang diminta hatta wang ringgit sebagai membalas jasa tetapi apabila menjelang usia tua, kunjungan anak-anak sudah cukup menggembirakan. Malangnya masih ramai yang tidak menyedarinya, hanya pulang ke kampung semasa musim perayaan, tidak pernah terfikir perasaan ibu dan ayah yang saban waktu begitu sabar menanti kunjungan anak-anak. 2,3 hari ini, hati begitu sebak apabila membaca cerita-cerita di dada-dada akhbar tentang bapa yang menyaman anak sendiri. Kes pertama tentang seorang bapa yang menyaman anak lelakinya kerana lupa tanggungjawab untuk nafkah anak-anaknya sendiri yang di bawah jagaan si ayah dan ibu yang sudah tua tadi, selepas bercerai dengan isteri pertamanya. Si anak pula bukan calang-calang orang tetapi seorang yang berjawatan tinggi. Kes ke 2 pula seorang bapa yang menyaman 3 orang anak lelakinya kerana mengurung dan memaksa beliau untuk menandatangani dokumen yang berkaitan dengan hak milik tanah. Sedihnya rasa hati bila dengar cerita-cerita yang sebegini. Sepatutnya kita sebagai anak menyenangkan ibu bapa sewaktu di usia tua mereka. Jagalah mereka sementara mereka masih bersama kita.
Kini anak-anak dah kembali semula ke kampus, menyambung perjuangan dalam pembelajaran. Walau hanya sesekali menerima kiriman sms tapi sudah cukup menggembirakan. Semoga semuanya bersemangat dalam memperbaiki apa yang kurang sama ada dalam akademik dan dalam menempuh alam kehidupan yang penuh mencabar ini. Good luck...anak-anak. Jaga diri baik-baik ya di rantau orang...


Ni jamuan makan-makan kat Taman Sri Iman pada 19 Disember 2009......








No comments:

Post a Comment