Sunday, August 1, 2010

BILA ANAK-ANAK PULANG BERCUTI....

Sepanjang bulan Mei dan Jun yang lalu, musim pelajar-pelajar IPT pulang bercuti. Saban hari ada sahaja anak-anak yang datang menjenguk, hilang rasa sunyi. Pelbagai cerita dikongsi bersama, ada cerita mencuit hati, ada cerita duka dan tak ketinggalan cerita-cerita yang menggembirakan. Ya lah zaman remaja yang penuh suka duka terutamanya semasa berada di kampus menuntut ilmu.Gembira lihat gelagat mereka apabila bersama-sama menyusun atur untuk mengadakan 'reunion'. Walau baru beberapa bulan tak berjumpa tetapi sibuk nak buat 'reunion' mengalahkan orang yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Ya lah seronok juga bila berjumpa ramai-ramai, boleh berkongsi segala cerita kerana masing-masing berada di kampus IPT yang berlainan. Itulah seronoknya zaman remaja, kawan-kawan ramai tempat berkongsi segala, berlainan apabila menginjak dewasa, semuanya mulai sibuk dengan kerjaya dan keluarga, jarang dapat bersua muka.
Seminggu sebelum anak-anak semua pulang semula ke kampus, sama-sama berpakat untuk buat jamuan makan-makan. Dalam masa 2 hari je perbincangan, segalanya diatur. Pada hari jamuan tu, sewaktu sarapan pagi di kantin, rakan-rakan menegur kenapa muka berseri-seri, dan senyum memanjang. Pelik juga, rasanya biasa sahaja. Seorang rakan lain menyampuk , "ya lah anak-anak dia ramai, setiap hari datang menjenguk tu yang berseri-seri semacam". Mungkin betul juga kata rakan-rakan.. Begitulah tanpa disedari, jika hati kita gembira, pasti terpancar di wajah...
Mungkin beginilah perasaan hati seorang ibu dan ayah, tiada apa yang diminta hatta wang ringgit sebagai membalas jasa tetapi apabila menjelang usia tua, kunjungan anak-anak sudah cukup menggembirakan. Malangnya masih ramai yang tidak menyedarinya, hanya pulang ke kampung semasa musim perayaan, tidak pernah terfikir perasaan ibu dan ayah yang saban waktu begitu sabar menanti kunjungan anak-anak. 2,3 hari ini, hati begitu sebak apabila membaca cerita-cerita di dada-dada akhbar tentang bapa yang menyaman anak sendiri. Kes pertama tentang seorang bapa yang menyaman anak lelakinya kerana lupa tanggungjawab untuk nafkah anak-anaknya sendiri yang di bawah jagaan si ayah dan ibu yang sudah tua tadi, selepas bercerai dengan isteri pertamanya. Si anak pula bukan calang-calang orang tetapi seorang yang berjawatan tinggi. Kes ke 2 pula seorang bapa yang menyaman 3 orang anak lelakinya kerana mengurung dan memaksa beliau untuk menandatangani dokumen yang berkaitan dengan hak milik tanah. Sedihnya rasa hati bila dengar cerita-cerita yang sebegini. Sepatutnya kita sebagai anak menyenangkan ibu bapa sewaktu di usia tua mereka. Jagalah mereka sementara mereka masih bersama kita.
Kini anak-anak dah kembali semula ke kampus, menyambung perjuangan dalam pembelajaran. Walau hanya sesekali menerima kiriman sms tapi sudah cukup menggembirakan. Semoga semuanya bersemangat dalam memperbaiki apa yang kurang sama ada dalam akademik dan dalam menempuh alam kehidupan yang penuh mencabar ini. Good luck...anak-anak. Jaga diri baik-baik ya di rantau orang...


Ni jamuan makan-makan kat Taman Sri Iman pada 19 Disember 2009......








Monday, January 25, 2010

BERSYUKURLAH......

Kadang-kadang terfikir sejenak apakah diri ini sudah cukup berterima kasih atas apa yang telah dikurniakan Tuhan. Apabila berhadapan dengan masalah terus mencari kesalahan dan sebab mengapa musibah ini menimpa diri. Terlupa terus sebenarnya selama ini terlalu banyak yang Tuhan berikan berbanding dengan apa yang kita mampu berikan kembali kepadaNya.
2, 3 hari ini diri mula terfikir perkara ini apabila berhadapan dengan individu-individu yang rupa-rupanya begitu daif kehidupannya berbanding dengan kehidupan yang diri ini lalui. Mengapa mereka boleh tabah mengharunginya. Bayangkan mereka ini perlu bertungkus lumus seharian untuk mencari sesuap nasi, perlu berkongsi dengan ramai individu lain dan perlu berjimat cermat dan hidup seadanya.... perlu pula menghadapi masalah lain dalam kehidupan... Terasa sebak di dada bila memikirkan dalam usia semuda remaja sudah perlu bersusah payah mencari rezeki tidak seperti remaja yang hidupnya senang lenang hanya menumpukan perhatian pada pelajaran.
Apa yang diri ini mampu berikan kepada mereka untuk membantu, hanya sekelumit nasihat dan dorongan agar tabah menghadapinya dan mungkin selepas ini akan ada rahmat disebaliknya. Hanya kata-kata yang ikhlas dari hati dan berkongsi rasa seadanya yang mampu diberikan. Andai kita di tempat mereka adakah kita akan setabah mereka.
Oleh itu, bersyukurlah...dan hiduplah seadanya......

Dalam kesusahan, kalau anda tidak sabar dan ikhlas,
akan jatuh kesusahan yang lain.
Dalam kesusahan, jangan lupa pengharapan,
dalam kesenangan, jangan lupa tujuan.

Hidup ini tidak selalu indah
tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

Jika anda kehilangan segala-galanya,
jangan lupa kerana anda masih mempunyai masa depan.

Apa-apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada seorang hamba
akan suatu nikmat, kemudian dicabutnya nikmat itu daripada hamba
tersebut kemudian digantiNya dengan sabar, maka
apa-apa yang digantikan oleh Allah itu adalah lebih baik daripada yang dicabutnya.

Wednesday, July 29, 2009

JALAN-JALAN SEGARKAN MINDA



Pengantin dan keluarga yang begitu sporting.....


'Mempaga Inn"



Perjalanan pulang.....

Minggu lepas, dalam keadaan yang terlalu busy buat program, terima call dari boss lama@rakan baik@dah macam family jemput kenduri anak sulungnya kawin. Terlupa yang beliau dah bagi tahu awal-awal dulu. Kenduri tu 3 hari lagi, so tanpa lengahkan masa, mesej member dapatkan persetujuan untuk pergi sekali. Hari tu juga isi borang cuti untuk sehari sebab tak sempat nak balik lepas kenduri tu. Bertolak ke tempat kenduri sehari lebih awal maklumlah perjalanannya memakan masa 6 1/2 jam. So bila tiba di sana, jalan-jalan segarkan mindalah dulu. Sedih juga rasanya tengok tempat bertugas yang lama, jumpa rakan-rakan lama, dan tempat-tempat makan yang penuh nostalgia. Jumpa and borak-borak dengan Tan, rakan lama dan lepak sekejap di kedai bunga Yan Yan yang merupakan tempat lepak dulu-dulu. Penuhlah masa terluang petang tu, esoknya sambung lagi. Tengahari barulah bertolak ke tempat kenduri. Seronoknya tgk ramai orang kat kenduri tu tapi kecewa sangat-sangat, tak ramai member-member sekerja yang lama, ingat bolehlah jumpa kat situ. Hanya jumpa Kak Gee dan Cikgu Azman. Walau apapun, hati terubat bila dapat layanan yang sangat baik dari keluarga terlibat (pengantin dan keluarga), semuanya ramah tamah dan senyuman sentiasa manis terukir walaupun dalam kepenatan. Yang seronoknya tanpa malu dan segan sama macam bebudak makan aiskrim. Yang nostalgianya gang-gang warga emaspun makan aiskrim juga, hi, hi. Jumpa juga dengan boss lama yang seorang lagi bersama keluarga, berborak sekejap bertanyakan khabar. Balik kenduri, sambung lagi jalan-jalan segarkan minda, maklumlah dah lama rasanya tak bercuti lepaskan tekanan selepas penat bekerja sepanjang setengah tahun ini dan sempat juga buat aktiviti sampingan mengait rambutan. Lupa nak mention, tempat bermalam di 'Mempaga Inn' juga sangat selesa, bersantai-santai sambil baca majalah-majalah yang bertimbun-timbun, tuan rumah pulak sporting dan jenis tak kisah, thanks a lot to Kak Asni yang bagi menginap free 2 malam 3 hari, lain kali nak tumpang lagi. Pagi Ahad barulah bertolak balik tapi sebelum bertolak tu, melawat sambil belajar ke sekolah di sebelah tempat menginap ambik apa-apa idea yang patut. Akhirnya bertolak pulang selepas penat bergambar sebab esoknya dah mula bekerja semula, lagipun esok kena ikuti satu seminar. Perjalanan balik lebih kurang 6 jam setengah lagi. Walau letih tapi hati happy je, maklumlah minda dah mula segar semula bila bercuti walau hanya beberapa hari...percutian yang penuh kenangan terindah..

Wednesday, July 15, 2009

INIKAH CINTA SEJATI?

Minggu lepas ada terbaca berita tentang kematian Bertha Hertogh atau lebih dikenali dengan Natrah. Tiba-tiba sahaja hati dipalit rasa sayu yang teramat. Teringat beberapa tahun dulu pernah terbaca kisah beliau yang begitu memilukan. Kisah sejarah itu yang ditulis Fatini Yaacob (kini Datin Fatini) begitu menyentuh hati apatah lagi beberapa hari sebelum kisah itu dipaparkan, bekas suami Natrah iaitu Mansor Adabi telah kembali ke rahmatullah. Suami yang amat dicintai tetapi disebabkan keadaan yang memaksa, terhalang hingga ke akhir hayat. Bayangkan dalam usia 13 tahun, baru beberapa hari menjadi isteri kepada Mansor Adabi, beliau telah diambil semula oleh kedua ibu bapanya dan dibawa pulang ke Belanda. Natrah akhirnya berkahwin lain dan mempunyai 10 orang anak, begitu juga dengan Mansor yang juga telah berkahwin lain. Walaupun demikian Natrah dikatakan tidak bahagia kerana tidak dapat melupakan cintanya terhadap Mansor dan dikatakan mengalami tekanan perasaan. Dan apa yang lebih memilukan Natrah dikatakan hingga akhir hayatnya tidak pernah mengetahui bahawa Mansor sebenarnya tidak pernah berputus asa berusaha mendapatkannya kembali sehinggalah menerima surat palsu yang dikatakan daripada Natrah yang meminta Mansor melupakan beliau. Alangkah sedihnya....andainya dia tahu.....

GURINDAM JIWA
(Wandly Yazid & Hamzah Hussein)


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak Cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak kulupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga.

Monday, July 6, 2009

HIDUP BIARLAH BERKESAN

Dalam hidup ini, sentiasalah berpegang pada prinsip jangan suka menyusahkan hidup orang lain. Berfikirlah sebelum bertindak. Jangan fikir untuk kepentingan diri sendiri sahaja, orang lain juga perlu difikirkan. Kadang-kadang kita tidak sedarpun kita telah menyusahkan hidup orang lain contohnya ada perbuatan kita yang menyebabkan orang lain terpaksa berfikir dan memerah otak untuk menyelesaikan masalah yang berlaku akibat daripada perbuatan kita itu. Kita tidak tahupun ada orang yang terkena tempias akibat perbuatan kita sampai tidak lena tidur dan rasa resah gelisah memikirkan masalah yang kita timbulkan. Kadang-kadang benda yang simplepun sebenarnya telah menyusahkan orang lain seperti jika kita parking kereta tanpa memikirkan hak orang lain yang menyebabkan menghalang laluan. Kita hanya fikir kita sahaja, asalkan kita boleh parking lantas tidak memikirkan adakah menghalang laluan ataupun tidak sehinggakan tuan punya kereta terpaksa membuang masa tercari-cari atau menunggu kita untuk meneruskan kerja-kerja sehariannya. Itu bab parking, kalau bab memandu pula, ada juga yang memandu terlalu perlahan ,40 km sejam. Wah, berhemahnya memandu tetapi kita lupa orang lain yang banyak lagi urusannya selain bersantai-santai di jalan raya macam kita. Geramnya yang teramat. Bukannya apa, rupa-rupanya berhemah kerana sedang bergayut dengan handphone atau sedang menyedut asap rokok dengan kusyuknya. Ada juga yang menjadi pemandu berhemah kerana sedang asyik masyuk dengan girlfriend di sebelah. Kereta panjang beratur di belakang tidak dihiraukan, asyik dengan dunia sendiri. Inilah manusia yang tak pernah fikir untuk orang lain. Hakikatnya memang ramai orang yang hidupnya hanya pentingkan diri sendiri. Ingatlah, hidup yang berkesan adalah sentiasa memberi kebaikan kepada orang sekeliling, ada budi yang kita sumbangkan untuk orang lain dan ada juga orang yang menghargai kewujudan kita bukan sebaliknya. Oleh itu hiduplah dengan berkesan, sesekali cubalah berfikir untuk orang lain sebagaimana kita fikirkan untuk diri sendiri. Renungkanlah sejenak..

Jika kita berbuat baik,
kebaikan pula yang akan kita terima kelak.

Kalau kurang pada rupa,
janganlah kurang pada budi.

Yang penting bukan berapa lama kita hidup,
tetapi bagaimana kita menjalani kehidupan itu.